Ahad, 27 Mac 2011

masa untuk keluarga dan diri kita.




Seorang murid dari kelas 3 Mawar telah bertemu denganku. Semalam dia
meminta untuk bertemu dengan aku karana hendak menceritakan tentang
ayahnya. Liliana, merupakan seorang pelajar yang aktif dan riang sebelum
ini. Hanya kebelakangan ini sahaja dia kelihatan murung dan sedih.
Kadang-kadang sesi "Bahasa Inggeris" yang aku ajarkan bagaikan tidak
mengundang keminatannya. Dia sering termenung dan kelihatan sugul. Kini
dia di hadapanku, harapanku, jika ada masalah yang dia hadapi akan cuba
kubantu sedaya mungkin.

Cikgu, ini mengenai ayah saya. Air matanya terus berlinangan. Aku hanya
mampu memegangnya dan mengurut-urut lengannya, dan menantikan dia
meneruskan kalimat-kalimat dari bibirnya yang kecil itu. Dia meneruskan
kata-katanya:

"Ayah saya telah berubah sejak tiga bulan yang lalu. Semuanya kerana
kehadiran "dia". Kehadiran "dia" ke rumah kami telah mengubah suasana di
dalam rumah . Memang pada asalnya, "dia" memang dinanti-nantikan untuk
bersama kami. Malah, ibu sayalah yang telah mencadangkan kepada ayah untuk
"dia" tinggal bersama kami. Pada awalnya kami amat gembira bila "dia" ada
bersama kami. Mungkin kerana "dia" masih baru dan kami masih terlalu
teruja mendapatkan "dia" di dalam rumah kami.

Keadaan telah berubah apabila ayah sudah mula rapat dengan si "dia".
Walaupun pada asalnya ibulah yang banyak bersama dengan "dia", namun
akhirnya ayah pula yang berjaya dikuasai oleh si "dia". Semenjak itu ayah
tidak memperdulikan ibu lagi. Kami juga sudah tidak ayah pedulikan juga.
Hubungan ayah dengan "dia" semakin intim. Pulang sahaja dari kerja, ayah
terus mendapatkan si "dia". Kadang kala ayah sanggup untuk mengambil cuti
semata-mata untuk bersama dengan si "dia". Kami geram sungguh!

Pada bulan Jun yang lalu, krisis kami dengan ayah mencapai kemuncaknya.
Ayah sudah tidak pedulikan ibu lagi. Ayah sudah tidak tidur dengan ibu
lagi semata-mata untuk bersama dengan si "dia". Ayah sudah melampau. Ayah
sanggup mengorbankan waktu tidurnya dan juga waktu bersama ibu hanya untuk
bersama si "dia". Lebih menghangatkan darah kami lagi, di pagi hari kami
lihat ayah terdampar bersama si "dia". Satu contoh yang amat tidak sihat
buat kami anak-anak. Ibu tetap boleh bersabar. Banyak kali juga kami
mendengar ibu menasihati ayah, tetapi ayah tetap tidak berubah. Ibu tidak
mahu derhaka, hanya nasihat sahajalah yang boleh ibu berikan. Malangnya
tidak nampak pun riak-riak ayah akan berubah. Bahkan kini ayah semakin
teruk.

Siang, malam, pagi, petang....ayah lebih meluangkan masa untuk bersama
dengan "dia". Saya tidak mahu digelar anak derhaka, tetapi keadaan ayah
semakin melampau. Akhirnya cikgu..."

Dia terus menangis teresak-esak. Aku terus memujuknya, "sabar, setiap
orang ada masalah masing-masing...". Aku terus memeluk Liliana.

"Cikgu Ros, saya tidak mahu menjadi anak derhaka, tetapi demi ayah, saya
terpaksa lakukannya..."

"Apa yang kamu telah lakukan?", tanyaku dengan nada yang lembut.

"Saya terpaksa menelefon tempat asal si "dia". Saya telah mendail
1300-82-3838, dan meminta mereka memutuskan hubungan ayah dengan "dia""

"Siapa dia tu?", aku binggung...

"Astro!"

Aku: ???????

Moral: Astro macam-macam ada, tapi jangan sampai waktu untuk isteri dan
anak-anak tiada kerananya!kehidupan.....

Jumaat, 18 Mac 2011

Orang yang bertaubat

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan tentang seorang penjahat yang ingin bertaubat. Ia masuk ke masjid. Ketika itu Rasulullah S.A.W sedang mengimamkan solat. Setelah menunaikan solat mereka berbincang-bincang dan penjahat yang ingin bertaubat itu mendengar Rasulullah S.A.W berkata, 

"Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram maka akan memperolehinya ketika sudah halal." 
Setelah Rasulullah S.A.W dan para sahabat bersurai, pemuda itu turut meninggalkan masjid. Hatinya masih ragu untuk mengutarakan taubatnya. Namun ucapan Nabi tadi amat terkesan di hatinya. Malam pun menjelang. Suasana yang sering menggoda dirinya untuk melakukan keburukan. Tiba-tiba dia berhasrat untuk merompak salah sebuah rumah yang dihuni oleh seorang janda. Ternyata di rumah janda itu terdapat banyak makanan yang enak dan pasti mengundang selera. Ketika dia sedang memulakan suapannya tiba-tiba dia teringat kata-kata Rasulullah S.A.W siang tadi. Akhirnya dia tak jadi makan. Tatkala beranjak ke bilik ke bilik lain, dia menumpai perhiasan dan wang yang banyak. Dan ketika dia hendak mengambilnya, sekali lagi dia teringat kata-kata Rasulullah S.A.W. 
Lalu dia membatalkan niat jahatnya. Setelah itu dia masuk pula ke sebuah bilik yang besar. Didapatinya janda mu'minah itu sedang terbaring tidur dengan lenanya. Apabila ternampak wajah janda yang cantik dan rupawan itu, dia tergoda dan bermaksud untuk melampiaskan nafsunya. Namun tiba-tiba dia teringat kembali kata-kata Rasulullah S.A.W tadi.. Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram ia akan memperolehi barang sebut ketika ia sudah halal. Akhirnya, sekali lagi beliau membatalkan niat jahatnya. 
Lalu dia pergi meninggalkan rumah itu dengan hati yang lega kerana mampu mengalahkan nafsunya. Fajar mula menyinsing. Penjahat tadi pergi menunaikan solat subuh di masjid. Kali ini dia bertekad, dia akan bertaubat di hadapan Rasulullah S.A.W. 
Setelah solat, beliau duduk menyendiri di satu sudut masjid, merenung kembali peristiwa yang baru dialaminya malam tadi. Dan menghitung betapa besar dosanya andai perbuatan itu dilakukan.  Ketika matahari terbit datanglah seorang wanita ke masjid dan menceritakan kepada Rasulullah S.A.W kejadian semalam di rumahnya. Walaupun tiada barang yang hilang namun beliau khuatir kalau-kalau pencuri itu datang menyelidik semalam dan akan datang lagi malam nanti. Wanita itu juga memohon kepada Rasulullah S.A.W agar sudilah mencarikan seorang yang sanggup menjaga rumahnya. "Kenapa kau hidup sendirian?" tanya Rasulullah S.A.W padanya. Wanita itu menjawab bahawa suaminya telah meninggal dunia. Rasulullah S.A.W mengarahkan pandangannya kepada seorang yang sedang duduk menyendiri di satu sudut masjid. Rasulullah S.A.W bertanya pada lelaki tersebut (penjahat tadi), adakah beliau sudah beristeri? Setelah Rasulullah S.A.W mengetahui bahawa lelaki itu telah kematian isterinya, maka baginda menawarkannya seorang calon isteri. Lelaki itu terdiam begitu juga janda yang mengadu tadi. Mereka sama-sama malu. Tetapi Rasulullah S.A.W yang arif kemudian mengikat kedua insan itu menjadi suami steri yang sah. 
Dan.. pecahlah tangis lelaki itu, lalu diceritakannya kepada Rasulullah S.A.W peristiwa yang sebenarnya, dan bahawa pencuri itu tidak lain adalah dirinya sendiri. Wanita itu keluar dari masjid dari masjid diiringi lelaki yang kini telah menjadi suaminya. Mereka berjalan beriringan menuju rumah yang malam tadi hampir dicerobohinya. Disana makanan-makanan yang enak masih utuh seperti yang dilihatnya malam tadi. Bezanya sekarang, makanan itu sudah tidak haram lagi. 
Maka tanpa ragu-ragu makanan itu disantapnya. Wang, emas dan perhiasan yang hendak dicuri, kini sudah menjadi miliknya yang halal. Bahkan dia boleh menggunakannya untuk berniaga, tanpa haram sedikitpun. Sementara wanita cantik yang hampir dinodainya semalam, kini benar-benar sudah menjadi isterinya. berkat kemampuannya menahan nafsu syaitannya. Lelaki itu berbisik sendiri dalam hati, "Benarlah sabda Rasulullah S.A.W, barangsiapa meninggalkan yang haram maka ia akan memperolehinya ketika ia sudah menjadi halal." Demikian indah Islam mengajar erti cinta
Cinta yang tidak diliputi keraguan, cinta yang menimbulkan rasa tenteram, cinta yang menumbuhkan kedamaian, cinta yang menyuburkan keimanan dan ketaqwaan. Cinta yang apabila kita meneguknya akan diperolehi kenikmatan yang lebih dalam lagi. Marilah kita menjenguk dan menyemak hati kita. Masihkah ada cinta di sana? Sudahkah kita mengemas cinta kita dengan kemasan Cinta Rabbani dan memberi label halal di atasnya? Dan sudahkah kita menyingkirkan cinta  syhwat yang akan menjerumuskan kita dalam petaka yang berpanjangan? tidak timur, tidak jua barat.
:::::Rasulullah SAW telah mengajarkan kita bagaimana untuk bercinta, sentiasa beramal dengan amalan yang soleh tetapi apa yang berlaku sekarang. Terlalu jauh menyimpang dari yang diajarkan. Maka berlakulah isu pembuangan anak, zina, isteri suami curang sesama sendiri, dan lain-lain lagi. Semua yang berlaku kini adalah petanda-petanda akhir zaman. Itulah yang dikatakan kehidupan makhluk. Perlu akan sesuatu syariat, hukum, petunjuk dalam hidup ini. Dan Allah mengutuskan Rasulnya dalam menyampaikan perkara-perkara tersebut.

Rabu, 16 Mac 2011

Hidup Dengan Akhlak Al-Quran

Adakah anda ingat akan isu pembuangan anak, keruntuhan akhlak, cerai dan yang sewaktu dengannya. Pada pendapat anda kenapa semua ini berlaku? Adakah kerana pembangunan yang maju? Atau pengaruh televisyen? Atau pun pengaruh budaya barat? Semua ini salah satu dari sebab berlakunya perkara-perkara tersebut. Ini semua berkenaan hati dan iman dalam diri masing-masing. Rasulullah S.A.W. diutuskan Allah adalah kerana untuk menyempurnakan akhlak. Tapi kenapa umat Islam zaman sekarang, orang Islam di Malaysia khususnya tidak mengikut apa yang diajarkan Rasulullah S.A.W. tetapi lebih suka ikut cara Barat yang mana terang lagi bersuluh cara hidupnya lebih teruk dari haiwan.

Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya : "Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal dem sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : " Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?" Rasulullah menjawab : "Siapa lagi?" (kalau bukan mereka)." HR. Muslim.
Marilah kita kembali ke kehidupan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang penuh dengan kasih sayang serta disulami keimanan kepada Allah.

Agama Islam itu indah. Marilah kita ikut akhlak Rasulullah yang seperi Al-Quran. Marilah kita hidupkan kembali akhlak Al-Quran!!!
Inilah kehidupan......